Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Jasanizam Rosni, 34, dan memerintahkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli, menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 9 Ogos 2016.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Hakim Azman sempat menasihatkan tertuduh supaya tidak terikut-ikut dengan cara kehidupan penduduk di negara bergolak.

“Kamu lahir di sini dan merupakan warganegara Malaysia, jadi ikutlah cara kehidupan di sini. Perkara di negara bergolak tidak sesuai untuk dipakai di sini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan bapa tiga anak itu supaya mengubah cara pemikiran tentang sesuatu perkara dan melakukan perkara yang lebih berfaedah selepas ini.

“Walaupun tempat yang kamu cakap itu tempat maksiat, tidak semestinya orang di dalam itu semuanya jahat. Kalau nak hukum orang di tempat begitu, asasnya silap,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Jasanizam didakwa melibatkan diri dalam persediaan untuk melakukan perbuatan pengganas iaitu bagi melakukan serangan ke atas tokong dan kelab-kelab malam di Johor Bahru, di sebuah rumah di Kampung Parit Gantung, Seri Merlong, Rengit, Batu Pahat pada Jun hingga 9 Ogos 2016.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd. Noor mengikut Seksyen 130JD(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah merancang melakukan perbuatan pengganas itu apabila seorang individu dikenali sebagai Muhammad Wanndy Mohamed Jedi telah mengarahkannya mengambil sebutir bom tangan daripada seorang lelaki bernama Jonius Ondie untuk serangan di Johor.

Tertuduh turut menemui tiga lagi lelaki iaitu Md. Saifuddin Muji, Imam Wahyudin Karjono dan Sogon serta telah dimaklumkan oleh Md. Saifuddin bahawa bom itu akan digunakan untuk meletupkan tempat maksiat.