Para peniaga itu dituduh atas kesalahan berniaga tanpa lesen, bagaimanapun kesemua mereka mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Azem Fatihi Kamal.

Mereka yang terdiri daripada 14 wanita dan enam lelaki berusia di antara 28 sehingga 60-an itu didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) di pasar tersebut kira-kira pukul 10 pagi pada 15 Februari lalu.

Dua daripada mereka malah turut dikenakan waran tangkap oleh mahkamah kerana tidak hadir pada sebutan kes itu.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Undang-undang Kecil 9, Undang-undang Kecil Majlis Daerah Pasir Puteh 2009 dan boleh dihukum mengikut Undang-undang Kecil 44, Undang-undang Kecil yang sama.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan jika kesalahan berterusan boleh didenda RM200 setiap hari sepanjang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Nur Ainisa Arifin manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 21 dan 22 April depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pada April tahun lalu, berlaku kekecohan apabila MDPP mahu merobohkan pasar tersebut selepas beberapa notis pengosongan dikeluarkan dengan memberi tempoh yang dianggap lama untuk berpindah.

Para peniaga membuat bantahan tersebut kerana Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan MDPP menangguhkan proses merobohkan pasar itu sehingga perbicaraan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya didengar pada 22 Mac.

Sebelum itu kesemua mereka diarahkan berpindah ke Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh Sentral kerana Pasar Besar Pasir Puteh sudah uzur kerana terlalu lama. - UTUSAN ONLINE