Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Nazri Salleh, 47, selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalahnya.

Hari ini ditetapkan untuk bacaan fakta kes dan jatuh hukum terhadap lelaki itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak seorang buruh, Shuna Miya Basa Miya di tempat letak motosikal di hadapan sebuah kedai di Kampung Padang Balang, Setapak di sini pada pukul 9.30 pagi, 30 Januari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keselamatan orang awam.

Bagaimanapun, Mohd. Nazri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan telah insaf serta menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan penjara tambahan tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda itu.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah didatangi oleh tertuduh dan memintanya menyerahkan kunci motosikal jenis Yamaha 135LC dan pasport.

Berikutan itu, mangsa telah menyerahkannya dan tertuduh kemudian telah melarikan motosikal mangsa. - UTUSAN ONLINE