Lim Chuan Kim, 34, didakwa melakukan kedua-dua pertuduhan tersebut terhadap hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di dalam Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 di stesen minyak Caltex, 1 Jalan Sadao, Gapura Square, Padang Besar dekat sini pada pukul 1.45 petang, 28 September lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menyimpan 48 ekor tuntung spesies batagur affinis tidak matang tanpa permit khas di dalam kenderaan Toyota Estima berwarna perak dengan nombor pendaftaran kenderaan PEX 545.

Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perhilitan Perlis, Shahruddin Othman mengemukakan pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Chuan Kim didakwa telah menzalimi tuntung berkenaan yang dikurung di dalam 48 kotak plastik lut sinar di dalam sebuah tong polisterin putih yang dibungkus dengan karung kain warna coklat dan tertuduh telah cuai untuk memberi makanan atau air yang secukupnya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 86(1)(b) akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.

Hakim Johari Hassan memerintahkan Chuan Kim didenda RM10,000 atau penjara sembilan bulan bagi pertuduhan pertama dan denda RM20,000 atau penjara sembilan bulan bagi pertuduhan kedua.