Wee Lee Boon, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid. Dia membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita yang berniaga atas nama Syarikat B Plus Trading itu didakwa menjual dua pasang alat kelengkapan komunikasi jenama Bellsouth model T-388 berkenaan melalui pautan sebuah syarikat jual beli dalam talian.

Bagi pertuduhan kedua pula, Lee Boon didakwa menjual sepasang alat kelengkapan komunikasi jenama TYT model UVF8D melalui pautan yang sama.

Bayaran untuk kesemua barangan bagi kedua-dua pertuduhan itu telah dibuat melalui perkhidmatan perbankan dalam talian di SIRIM QAS International Sdn Bhd, Seksyen 2 di sini, kira-kira pukul 6.44 petang, 10 Sept 2013.

Lee Boon didakwa mengikut Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-peraturan yang sama dan boleh dihukum mengikut Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Norhani Mohamad Adzhar sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam prosiding berkenaan, Lee Boon memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana dia tidak mengetahui bahawa kelengkapan komunikasi itu dikawal selia agensi berkaitan dan amat menyesal serta memohon maaf atas perbuatan tersebut.

Katanya, dia baru memulakan perniagaan kecil-kecilan itu bagi membantu suami menyara persekolahan dua anak mereka selain menanggung perbelanjaan ibu mentua yang menghidap kencing manis.-BERNAMA