Syamiluddin Amatakin, 25, didakwa telah menyebabkan kecederaan ke atas Haslinda Abd. Majid, 31, di hadapan Sekolah Rendah Agama Taman Medan di sini kira-kira pukul 7.30 petang, 12 Jun lalu.


Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.


Timbalan Pendakwa Raya, Natasya Chin Le Jy menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.


Syamiluddin yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan dia perlu menanggung ibu bapa di kampung.


Majistret Nor Ariffin Hisham bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan selain menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan kes dan serahan dokumen.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku disebabkan perselisihan faham antara mereka berdua. - UTUSAN ONLINE