Tertuduh, Ooi Boon Lai, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd. Rosly Mohamed Nawi.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menawarkan suapan RM1,000 kepada ejen kerajaan iaitu Ketua Balai Polis Rantau Panjang, Asisten Superintendan Mohd. Sany Husin di Balai Polis Rantau Panjang antara pukul 2.30 pagi hingga 5 pagi, 14 Februari lalu.

Suapan itu sebagai dorongan kepada Mohd. Sany untuk membebaskan seorang warga Thailand, Jukkrapan Sangsuwan, 54, yang ditahan bersama 36 karton minuman keras di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang kerana dipercayai melakukan kesalahan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shahidah Muslimah Roslan, manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohd m. Amin Nik Abdullah.

Shahidah Muslimah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan Nik Mohd. Amin memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,800 sebulan dan ini kali pertama berdepan dakwaan tersebut.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 27 Mac depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE