Muhamad Abdul Rahman Ahmad, 28, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan selesai dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Ghazali Mohd. Taib dan Zaman Mohd. Noor.

Di hadapan Ghazali, tertuduh bersama seorang yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pegawai imigresen, Nurul Norhasriza Shaari, 24, dengan meragut beg tangan mangsa di Jalan Sri Hartamas 1, di sini pada pukul 8.20 pagi, 25 Ogos 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh bersama seorang yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan bersenjatakan sebilah pisau terhadap pembuat roti, Ng Moon Shing, 25, dengan melarikan beg tangan mangsa hingga menyebabkan kerugian RM280 di Jalan Danau Saujana, Setapak di sini, pada pukul 6.57 pagi, 16 Julai 2017.

Sementara di hadapan Zaman, lelaki itu bersama-sama tiga yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas pekerja bengkel, Sze Sun, 48, dengan menggunakan penyembur api di Jalan Batu 5, Jalan Gombak, Setapak di sini pada pukul 6.30 petang, 8 September 2017.

Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan manakala pertuduhan kedua dan ketiga dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Yusoff AG Lah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah juga menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE