Selain itu tertuduh, Zulkeri Jalinu, 49, turut berhadapan satu pertuduhan menyebabkan kecederaan tapak kaki kanan terhadap seorang kanak-kanak di pusat berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang juga seorang kontraktor mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen, Azuar Che Yusof.

Berdasarkan kepada kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak berusia antara 10 hingga 15 tahun itu di Rumah Anak Yatim Baitul Makhazin di Charuk Puting Temerloh antara Januari hingga Oktober tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan mendatangkan kecederaan  mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan hingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim memohon supaya mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh bagi mengelakkan tertuduh mengganggu mangsa.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Aedi Tajuddin merayu diberikan jaminan setimpal memandangkan tertuduh mempunyai lima orang anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU).

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM45,000 dan tertuduh dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak menggangu mangsa serta keluarga mangsa.

Sebutan semula kes ini ditetapkan pada 13 Mac ini.- UTUSAN ONLINE