Majistret Wong Chai Sia menetapkan tarikh itu terhadap Zakaria Arman, Salehudin Ali, Jaefar Amin, Osman Abbas, Alim Osman, Asen Ziyali, Taher Kasim, Ibrahim Rexiti, Nurudin Muhammad, Abdul Kader dan Yusof Ahmed selepas menerima permohonan daripada pihak pendakwaan bagi meneliti semua dokumen sebelum tarikh perbicaraan kes.

Pada 24 April lalu, kesemua tertuduh yang berusia antara 20 dan 40 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah di pekarangan Balai Polis Sentul di sini pada pukul 10.50 pagi, 31 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan juga boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam manakala peguam, Raimi Ab. Rahim mewakili 11 tertuduh berkenaan.

Akhbar 22 November tahun lalu melaporkan, Thailand memohon kerjasama Malaysia untuk mengesan 20 tahanan Uighur China yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Sadao wilayah Songkhla di selatan Thailand berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.