MELAKA 9 Sept. - Seorang pengurus hotel dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai penjawat awam dengan jawatan 'Unit Risikan Khas' Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Keselamatan Negara di sebuah pusat hiburan, hujung bulan lalu.
Mohd. Shamsul Azreen Atan, 30, dari Taman Maju Jaya, Masjid Tanah dekat sini mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.
Tertuduh didakwa menyamar dengan jawatan tersebut yang tidak wujud dalam perkhidmatan awam dan cuba melepaskan seorang rakannya dengan menunjukkan dokumen berbentuk kad kepada pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Mohd. Shamsul Azreen didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pusat Hiburan Hitz Club, Taman Melaka Raya di sini pada pukul 3 pagi, 30 Ogos lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashraf Abd. Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Faiezad Razali.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 15 Oktober ini.