Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan penangguhan yang dikemukakan oleh 48 pengundi tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Tan Sri Idrus Harun yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berpuas hati, tiada keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan itu dibenarkan.

Kuorum itu berpendapat, keputusan tersebut tidak memprejudiskan pemohon kerana rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman, akan didengar oleh panel berlainan pada 24 April ini.

Peguam Michelle Ng mewakili pemohon-pemohon manakala Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili pihak responden.

Kesemua 48 pengundi itu memohon agar pelaksanaan kesan terhadap Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 95 bertarikh 21 Februari 2018, iaitu kemasukan nama 949 individu untuk disenaraikan sebagai pengundi kawasan Parlimen Segamat, digantung sementara menunggu pelupusan rayuan.

Mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar kemasukan nama 949 anggota tentera dan pasangan masing-masing dalam RDPT oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mahkamah Tinggi ketika membenarkan bantahan awal SPR berpendirian, Seksyen 9(A) Akta Pilihan Raya 1958 adalah terpakai bahawa nama pengundi yang sudah diwartakan dalam daftar pemilih tidak boleh dicabar di mahkamah.

Pengundi terlibat selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman itu dengan menamakan SPR, Pendaftar Pemilih Negeri Johor, Shafie Taib dan Pegawai Pengadil Segamat, Miswan Yunus sebagai responden pertama hingga ketiga.

Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan kemasukan dan pengekalan 949 nama berkenaan ke dalam RDPT.

Dalam permohonan itu, pemohon menyatakan bahawa kemasukan dan pengekalan 949 nama terbabit adalah tidak berperlembagaan kerana tidak mematuhi Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, pemohon berkata, siasatan awam yang dijalankan berhubung isu kemasukan nama itu jelas melanggar keadilan asasi dan tidak mengikut prosedur Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.