Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said memutuskan demikian di kamar hakim di sini selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan pihak SPR yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Muzila Mohamed Arsad sementara peguam Michelle Ng mewakili semua pengundi terlibat.

Michelle ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah menolak permohonan pihaknya untuk mendapatkan kebenaran itu selepas bersetuju dengan hujahan Jabatan Peguam Negara bahawa Seksyen 9(A) Akta Pilihan Raya 1958 adalah terpakai.

“Seksyen tersebut menyatakan bahawa nama pengundi yang sudah diwartakan dalam daftar pemilih tidak boleh dicabar di mahkamah. Saya juga akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan atau tidak,” katanya sambil memberitahu tiada sebarang perintah berhubung kos.

Pada 6 Mac lalu, SPR mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan baharu 48 pengundi berdaftar Parlimen Segamat dengan alasan semua nama pengundi yang telah dimasukkan ke dalam senarai pemilih tidak boleh dicabar seperti termaktub mengikut peruntukan di bawah Seksyen 9A akta tersebut.

Kesemua pengundi yang diketuai Abdul Wahab Hassan selaku pihak pemohon memfailkan semakan kehakiman tersebut selepas Mahkamah Rayuan pada 21 Februari lalu membenarkan permohonan SPR untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi kebenaran kepada pihak pemohon.

Dalam permohonan yang difailkan pada 26 Februari lalu, pengundi Parlimen Segamat itu menamakan SPR, Pendaftar Pemilih Johor, Shafie Taib dan Pegawai Pengadil Segamat, Miswan Yunus sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan kemasukan dan pengekalan 949 nama ke dalam RDPT bersama sebarang tindakan yang timbul daripada mengesahkan keputusan tersebut oleh responden, ejen, pekerja atau pegawai mereka.

Mereka juga memohon suatu deklarasi bahawa kemasukan dan pengekalan nama ke dalam RDPT tidak berperlembagaan dan penggantungan pengesahan 949 nama ke dalam RDPT sehingga keputusan semakan kehakiman.

Antara alasan bagi tuntutan mereka ialah kemasukan dan pengekalan nama-nama ke dalam RDPT adalah tidak berperlembagaan kerana tidak memenuhi keperluan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, pemohon berkata siasatan awam yang dijalankan berhubung isu kemasukan nama itu jelas melanggar keadilan asasi dan tidak mengikut prosedur Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.