Selain SPR, saman itu juga menamakan Azhar Azizan Harun sebagai defendan pertama dan kerajaan Persekutuan selaku defendan ketiga.

Peguam plaintif, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz memberitahu, melalui saman pemula tersebut, enam perkara dituntut dan pihaknya juga berharap mahkamah dapat bersidang bagi mendengar saman itu sebelum tarikh penamaan calon pada 16 Februari ini.

Katanya, menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta SPR secara jelas menafsirkan bahawa keanggotaan SPR mesti terdiri daripada tujuh ahli tetapi apa yang berlaku sekarang disifatkannya sebagai 'one man show'.

"Antara lain saman ini adalah menuntut perintah deklarasi bahawa setakat tarikh tindakan ini, identiti defenden kedua (SPR) adalah tidak wujud dan tidak sah, atau tidak berpelembagaan selepas 1 Januari 2019 menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Kedua memohon perintah deklarasi bahawa mesyuarat SPR yang bertarikh 18 Januari yang dipengerusikan oleh Azhar Azizan seorang diri tanpa keanggotaan Timbalan Pengerusi dan lima ahli lain adalah tidak sah, batal serta melanggar Fasal 114 (1).

"Ketiga injuksi untuk menghalang SPR daripada bermesyuarat atau meneruskan apa-apa tindakan bagi melaksanakan pilihan raya kecil DUN Semenyih sehingga keanggotaan penuh SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita di lobi mahkamah di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE