Peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mazlan berkata, selain penghakiman persetujuan itu yang akan direkodkan pada pukul 3 petang, 29 Ogos ini, anak guamnya dijadualkan membaca permohonan maaf di mahkamah pada 28 September ini iaitu selepas beliau pulang daripada menunaikan ibadah haji pada 19 September ini.

Sementara itu, peguam Azhar Arman Ali mewakili Utusan Melayu (M) Bhd.(UMMB) yang turut dinamakan sebagai defendan ketiga dalam saman itu tidak menolak kemungkinan terdapat penyelesaian kes tersebut oleh anak guamnya itu.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Anwar selaku plaintif pula berkata, sekiranya UMMB turut mengemukakan cadangan penyelesaian maka pihaknya juga akan turut sama merekodkan terma-terma penyelesaian bersama syarikat itu.

Peguam-peguam tersebut menyatakan demikian kepada pemberita selepas menemui Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Faizah Jamaludin di kamar hakim di sini pada hari ini yang ditetapkan untuk mengetahui perkembangan usaha ke arah penyelesaian kes itu yang sepatutnya mula dibicarakan pada Isnin lalu.

Pada 15 Oktober 2015, Anwar, 71, memfailkan saman itu dengan menamakan Mazlan yang juga bekas Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), TV3 dan UMMB atas dakwaan memfitnah beliau dengan me­ngaitkannya terlibat dengan ra­suah membabitkan badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara.

Dakwaan tersebut hanya diketahui selepas berita mengenainya disiarkan menerusi Buletin Utama pada 2 Ogos 2013 dan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Anwar menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta perintah injunksi yang menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu. - UTUSAN ONLINE