Tertuduh, Shafiqah Izzati Badrul Hisham, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Shafiqah didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap ibu saudaranya, Rafzaliza Rafli , 34, dan Nadia Mohd, Khalid, 35, dengan menggunakan asid. 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah Jalan Kencana, Taman Kencana Fasa 2, Pandan Perdana di sini pukul 3. 30 petang pada 29 Januari lalu. 

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan. 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas faktor tertuduh mempunyai hubungan keluarga dengan salah seorang mangsa selain faktor keselamatan. 

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan ikat jamin dengan alasan dia mempunyai gangguan emosi. 

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Suzana membuat keputusan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dengan menggunakan pakai fakta seperti yang dipohon pihak pendakwaan. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Mac ini bagi tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan kejadian itu berpunca ekoran masalah hutang dan akibatnya kedua-dua mangsa mengalami lecur yang teruk di bahagian muka dan badan. - UTUSAN ONLINE