Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif menolak rayuan akhir sembilan mereka termasuk anak saudara kepada lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Jamalul Kiram III, Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 55.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Azahar Mohamed.

Selain Amir Bahar, lapan lagi termasuk Julham Rashid, 71; Virgilio Nemar Patulada, 58; Salib Akhmad Emali, 65; Tani Lahad Dahi, 65; Basad H. Manuel, 43; Ismail Yasin, 78; Atik Hussin Abu Bakar, 47; Al Wazir Osman, 63.

Mahkamah tertinggi negara dalam keputusan ringkasnya berpuas hati bahawa hukuman mati wajar dikenakan terhadap semua perayu.

Kuorum berkenaan turut mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan 14 individu daripada pelbagai tuduhan.

Mereka terdiri daripada Kadir Uyung, Lating Tiong, Masir Aidin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Salib Akhmad Emali, Abdul Hadi Mawan, Rijmal Salleh, Abdul Majil Jubin, Rizman Gulan, Saidili Jaharul, Totoh Hismullah, Dani Ismail dan

Basil Samiul.

Anggota kumpulan pengganas itu disabitkan melakukan kesalahan itu di beberapa tempat berbeza di Kampung Bakau dan Kampung Peringi di Semporna, Kampung Madai di Kunat, Ladang Atlas 2 di Jalan Ulu Tungku dan Kampung Tanduo di Lahad Datu di antara 9 Februari 2013 dan 13 Mac 2013. - UTUSAN ONLINE.