Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdi yang bertindak sebagai majistret menjatuhkan hukuman itu selepas Asmayuzi Ismail @ Abdul Wahab, 33, mengekalkan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dilakukan di rumahnya di Taman Wan Adnan Kerteh di sini antara pukul 7.30 pagi dan 10.12 pagi, 27 April 2016.

Berdasarkan pertuduhan, Asmayuzi didakwa menganiayai Wan Shifa Amani Wan Mohd. Fa­rid sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada bayi tersebut yang ketika itu berusia tujuh bulan.

Mengikut fakta kes, wanita itu didakwa memukul kepala kiri Wan Shifa Amani yang mena­ngis dan enggan meminum susu botol yang diberikan hingga menyebabkan mangsa pengsan dan mengalami kecederaan dalaman di sebelah kanan kepalanya.

Tertuduh kemudian telah meng­goncang kepala dan badan Wan Shifa Amani berulang kali akibat panik sebelum menghubungi ibu bapa bayi berkenaan dan menghantarnya ke Hospital Kemaman sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Asmayuzi didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam ra­yuannya mendakwa dia melakukan perbuatan tersebut kerana terlalu tertekan selepas disahkan menghidap HIV yang berpunca daripada suaminya yang merupakan penagih dadah.

Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi yang mengendalikan pendakwaan pula mene­gaskan, tertuduh wajar dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana dia tidak sepatutnya melepaskan tekanan perasaan terhadap mangsa.

“Wan Shifa juga telah me­ngalami masalah penglihatan pada bahagian mata kiri selain deria motornya juga disahkan perlahan berbanding bayi normal akibat penderaan berkenaan.

“Ibu mangsa yang merupakan seorang guru dalam keterangan impak kejadian terhadap mangsa (VIS) memberitahu, sehingga kini dia mengalami tekanan perasaan kerana terlalu memikirkan ke­adaan anaknya yang masih tidak menentu, akibat perbuatan zalim tertuduh,” katanya.