Nur Amirah Dayana Md. Darus, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang merupakan pengasuh bayi perempuan berusia enam bulan empat hari itu didakwa menganiaya bayi tersebut di Pusat Snuker 1st Champion, tingkat bawah fasa 1C Seri Manjung,

Manjung, kira-kira pukul 2 petang, 23 Mac 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)a Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Mahinderjit Singh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin berkenaan.

Azman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula 17 Mei ini. - UTUSAN ONLINE