Teow Wooi Huat, 52, yang merupakan pengasas syarikat MBI Marketing Sdn. Bhd. dan Mface International Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Daruz. 

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai orang yang bertanggungjawab bagi pengurusan hal ehwal MBI Marketing dan Mface International telah mengeluarkan suatu instrumen pembayaran yang telah ditetapkan tanpa kelulusan iaitu wang elektronik yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 24(1) Akta Sistem Pembayaran 2003.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Ampang Avenue dekat sini antara 3 Jun 2012 dan 17 Mac 2018.

Bagi kedua-dua kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Sistem Pembayaran 2003 dibaca bersama jadual, nombor siri 15, akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan kes.

Difahamkan, hanya pengeluaran instrumen pembayaran yang ditetapkan di bawah akta ini (Sistem Pembayaran 2003) memerlukan kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan operasi. 

Akhbar sebelum ini melaporkan, pada tahun 2011 tertuduh pernah dipenjara sehari dan didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu 93 pelabur berkaitan pelaburan program yang dipanggil Island Red Cafe. - UTUSAN ONLINE