Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Loh Sim Seng, 56, dan rakannya Ong Peck Hwee, 55, didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis ketamine dengan berat bersih 0.31 gram, Erimin 5 (0.02 gram), syabu (2.49 gram) dan eks­tasi (0.45 gram).

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Casa Tropicana, Persiaran Tropicana, Jalan PJU 3 di sini pada kira-kira pukul 7.30 malam, 21 Januari lalu.

Bagi kesemua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa memiliki dadah jenis syabu anggaran berat bersih 27.05 gram pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan lima kali.

Mahkamah membenarkan ke­dua-duanya diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy sementara tertuduh diwakili oleh peguam Maurice Scully.