Loh Sim Seng, 56, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Turut didakwa rakan tertuduh Ong Peck Hwee, 55, yang juga mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, kedua-duanya didakwa memiliki dadah jenis ketamin dengan berat bersih 0.31 gram, Erimin 5 (0.02 gram), syabu (2.49 gram ) dan ekstasi (0.45 gram).

Bagi kesemua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Manakala bagi pertuduhan terakhir, kedua-duanya didakwa memiliki dadah jenis syabu anggaran berat 27.05 gram pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan maksimum lima kali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Casa Tropicana, Persiaran Tropicana, Jalan PJU 3 di sini kira-kira pukul 7.30 malam, 21 Januari lalu.

Mahkamah membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun ini, sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy sementara tertuduh diwakil oleh peguam Maurice Scully. - UTUSAN ONLINE