Teow Wooi Huat, 52, yang merupakan pengasas syarikat MBI Marketing Sdn. Bhd. dan Mface International Sdn. Bhd. didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di sebuah premis di Ampang Avenue dekat sini antara 3 Jun 2012 dan 17 Mac 2018.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Wooi Huat sebagai orang yang bertanggungjawab bagi pengurusan hal ehwal MBI Marketing dan Mface International didakwa telah mengeluarkan suatu instrumen pembayaran yang telah ditetapkan tanpa kelulusan iaitu wang elektronik yang diperuntukkan di bawah Seksyen 24(1) Akta Sistem Pembayaran 2003.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Sistem Pembayaran 2003 dibaca bersama jadual, nombor siri 15, akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Pegawai Pendakwa daripada BNM, R. Hardeep Kaur mencadangkan jaminan RM150,000 bagi setiap pertuduhan manakala peguam, M. Mahendra memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

“Pada masa sama, akaun syarikat tertuduh telah dibekukan. Jadi, saya memohon jumlah jaminan yang rendah,” kata Mahendra.

Hakim Azrul Darus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan sebutan kes pada 11 Julai ini.

Difahamkan, pengeluaran instrumen pembayaran yang ditetapkan di bawah Akta Sistem Pembayaran 2003 memerlukan kelulusan daripada BNM untuk memulakan operasi malah pengendali sistem itu dikehendaki mengemukakan dokumen-dokumen kepada BNM dan dibenarkan beroperasi selepas menerima pemberitahuan bertulis.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pada tahun 2011 tertuduh pernah dipenjara sehari dan didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu 93 pelabur berkaitan pelaburan program yang dipanggil Island Red Cafe.