Hakim Hasbullah Adam meme­rintahkan Shamsuzy Mahasan, 30, menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 25 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memperdayakan Norhemira Juliana Abd. Rashid, 30, untuk mempercayai bahawa dia boleh memperoleh tender untuk membekalkan baju celoreng digital bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kementerian Pertahanan.

Ekoran daripada perbuatan tersebut, ia mendorong mangsa untuk menyerahkan wang RM500,000 walhal dia tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan tertuduh.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Maybank Bhd., Menara Perkeso, Dang Wangi, di sini antara 3 September 2015 dan 21 Oktober tahun sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum mengemukakan pertuduhan terhadap wanita itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, peguam Zulkif­li Awang yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan de­ngan alasan anak guamnya sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama, namun Faridah Nurdinie memohon hukuman setimpal ekoran perbuatan mang­sa menyebabkan kerugian besar.

“Selain itu, dalam kes ini tertuduh menipu dengan membuat tender baju celoreng yang disifatkan satu isu sensitif dalam ATM kerana pakaian itu satu kebanggaan kepada mereka,” katanya.

Mengikut fakta kes, mangsa membuat laporan polis selepas dipercayai ditipu dalam pelaburan melibatkan urusan tender membekalkan baju celoreng digital untuk ATM dengan mendakwa dia memperoleh kontrak secara langsung dari Kementerian Pertahanan.

Mangsa kemudian berurusan dengan syarikat Tenaga Kayangan Sdn. Bhd. milik tertuduh untuk tujuan pelaburan daripada kumpulan satu hingga 24 yang sudah mendapat keuntungan.

Justeru, mangsa membuat penyerahan wang kepada tertuduh secara berperingkat untuk kumpulan ke-25 melalui lima transaksi yang dibuat ke dalam akaun milik tertuduh.

Namun, selepas pembayaran dibuat, mangsa tidak memperoleh sebarang keuntungan seperti dijanjikan.

Hasil siasatan mendapati Kementerian Pertahanan mengesahkan syarikat milik tertuduh tidak berdaftar atau mempunyai sebarang tender dengan kementerian itu.