Wong Goang Ching

Datuk Wong Goang Ching, 51, yang merupakan pengarah syarikat Brother’s Factory Outlet (M) Sdn. Bhd., didakwa mengenakan cukai tersebut terhadap pembekal­an aksesori kenderaan berjumlah RM3,681.48 sen sebelum tarikh 1 April lalu.

Lelaki itu yang dinamakan sebagai orang kena saman (OKS) didakwa melakukan perbuatan itu di syarikat berkenaan di No. 10 Jalan SS 6/12, Kelana Jaya, Petaling Jaya, dekat sini antara 25 Mac dan 31 Mac lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Khairuddin Idris dan pegawai pendakwa, Mazliza Abdul Wahid dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 183(1) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 96 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM30,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan mencadangkan OKS diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan namun lelaki itu yang diwakili peguam, M. Manoharan memohon ikat jamin RM1,000 bagi kesemua pertuduhan.

Beliau memberikan alasan, anak guamnya telah lama mengusahakan syarikat itu bersama-sama isterinya dan tidak mungkin me­larikan diri selain kejadian itu me­rupakan kesilapan teknikal.

Hakim Azhari Abdul Hamid membenarkan Goang Ching diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula kes.