Pengarah Pembangunan Ko­mu­­niti, Jabatan Kemajuan Ma­syarakat (Kemas) Putrajaya itu mengaku tidak bersalah selepas per­tuduhan tersebut dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Adnan yang juga bekas Pengarah Kemas Selangor itu didakwa telah menggunakan cek Malayan Banking Berhad (Maybank) bernilai RM100,000 bagi tujuan pembayaran deposit rumah dua tingkat yang beralamat di No. 18, Jalan Setia Wawasan U13/31B, Presint 10, Seksyen U13 di sini.

Daripada jumlah keseluru­han nilai cek itu, sebanyak RM86,053.22 didakwa datang daripada hasil aktiviti haram.

Mohd. Adnan didakwa me­lakukan perbuatan itu di Perbadanan Kemajuan Negeri Se­langor (PKNS), Tingkat 2 dan 3, Kompleks PKNS Shah Alam pada 8 Januari 2015.

Dia didakwa mengikut Sek­syen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembia­ya­an Keganasan dan Hasil Daripada Akti­viti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksi­mum 15 tahun dan denda tidak kurang li­ma kali ganda hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendak­wa Raya daripada Su­ru­hanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail yang mengendalikan pen­dakwaan kes itu menawarkan jaminan RM100,000 terhadap ter­tuduh selain memohon kes itu dipindahkan ke Mah­kamah Sesyen Alor Setar, Kedah.

Permohonan pemindahan kes itu dibuat memandangkan Mohd. Adnan turut dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam atas kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagaimanapun, peguam Lissa Sukri yang mewakili tertuduh memohon jaminan ke atas Mohd. Adnan dikecualikan atau dikurangkan pada kadar yang lebih rendah.

Hal ini, katanya, tertuduh telah membayar jaminan yang tinggi iaitu RM80,000 selepas dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam selain mempu­nyai enam anak dengan lima daripadanya masih belajar manakala seorang lagi berusia dua bulan.

Ahmad Zamzani kemudian mem­­benarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 dengan seorang penjamin selain membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Alor Setar serta menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Mohd. Adnan semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas dua tuduhan menerima rasuah kontrak pembekalan tabika dan taska bernilai hampir RM160,000, dua tahun lalu.