Khalid, 56, membuat pengakuan tersebut selepas 13 pertuduhan ra­suah membabitkan wang tunai sebanyak RM196,200 dan tiga pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.08 juta dibacakan jurubahasa kepadanya.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan tertuduh yang telah 32 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam itu dibebaskan dengan jaminan RM250,000 berserta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan tersebut sementara me­nunggu sebutan semula kes pada 4 November ini.

Beliau turut memerintahkan Khalid yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork, menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah selain perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sebagai syarat jaminan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, tertuduh didakwa menerima untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai tanpa bala­san daripada syarikat Eureka Great Builder Sdn. Bhd., Dahlia Abdul Ghani, syarikat Pembinaan Al-Joffrie Sdn. Bhd. dan syarikat Zakaria Bin Mohd. Sdn. Bhd. yang keseluruhannya bernilai RM100,000.

Kesemua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan Khalid di Pejabat JKR Melaka, Jalan Taming Sari di sini antara Mac 2014 dan Julai lalu, dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kesembilan hingga ke-13, dia didakwa menerima suapan wang berjumlah RM96,200 di tempat sama menerusi lima transaksi daripada Mustapah Maarop, Shaari Ibrahim, Hasbullah Salleh dan Mohd. Firdaus Md. Nor sebagai upah kerana memilih empat syarikat melaksanakan beberapa projek di sekitar Melaka Tengah antara Oktober 2015 dan Ogos lalu.

Lima pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Khalid didakwa memiliki wang tunai sebanyak RM375,200 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di Taman Merdeka Jaya, di sini pada 15 Ogos lalu.

Khalid turut menghadapi tuduhan sama dengan memiliki wang se­banyak RM206,396.16 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera 2 pada 30 Jun lalu dan RM506,735.92 di dalam akaun Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) miliknya di pejabat Tabung Haji, Bangunan TH Jalan Banda Kaba pada 4 Ogos lalu.