Penganggur, Mohammad Zahrynnazha Abdullah, 22, dan tertuduh juvenil berumur 17 tahun itu didakwa membunuh Tan Chi Ann, 47, di Jalan Sutera 1, Taman Sutera, Yong Peng, di sini antara pukul 12.35 tengah malam dan 1.21 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Fariha Najwa W. Azaham

mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka berdua kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 April ini untuk sebutan kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Akhbar sebelum ini melaporkan Chi Ann yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya ditikam di bahagian dada ketika menaiki motosikal setelah singgah sebentar di rumah ibunya yang terletak berdekatan.

Chi Ann juga dipercayai diragut kerana beg tangan miliknya hilang dalam kejadian yang berlaku dua hari sebelum masyarakat Tionghoa meraikan Tahun Baharu Cina.