“Puan, saya memohon jatuh hukum pada tarikh lain, saya mahu ibu saya datang. Hari ini dia tak dapat datang sebab abang saya terlibat dengan kemalangan,” kata tertuduh terbabit, N.D. Sulaiman, 30, sambil menangis.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid kemudian menetapkan 18 Oktober ini untuk menjatuhkan hukuman dan fakta kes selepas Sulaiman yang diwakili peguam, S. Dev, mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah pisau dan parang terhadap dua individu, awal tahun ini.

Rakannya, M. Kaarthi, 25, yang menghadapi kedua-dua pertuduhan sama bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas Ng Hang Hiong, 52, dengan menggunakan sebilah parang di hadapan sebuah rumah di Jalan Mata Air, Taman Genting, Setapak, di sini kira-kira pukul 1.30 pagi, 20 Februari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan perbuatan sama bersenjatakan sebilah parang ke atas Hong Kai Yin, 20, dan telah merampas dompet dan telefon bimbit milik mangsa di Jalan Genting Kelang, Setapak, di sini kira-kira pukul 11.15 malam, 24 Mac lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan kes terhadap Kaarthi. - UTUSAN ONLINE