Hari ini, penganggur terbabit, M. Selvakumar dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana melakukan kesalahan itu di sebuah warung di tepi Jalan Berkat 10, Taman Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malim Jaya, dekat sini.

Selvakumar, 29, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah memecah masuk warung dan mencuri wang syiling bernilai RM63 milik Asnah Robiah Sabtu, 52, kira-kira pukul 3.20 pagi, 30 September lalu.

Pendakwaan terhadapnya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh sebelum itu mengaku melakukan kesalahan itu akibat tidak tahan lapar kerana gagal mendapatkan sebarang pekerjaan ekoran kehilangan kad pengenalannya.

Dia yang tidak diwakili peguam bela memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan atas alasan dia tidak mempunyai pekerjaan dan hidup sebatang kara.

"Saya sudah cuba cari kerja tetapi susah sebab kad pengenalan saya hilang. Saya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran ke atasnya.

Hukuman diperintah berkuat kuasa mulai 30 September lalu.