Gagal membayar denda, dia bakal dipenjarakan tiga hari.

Tertuduh, Mohammad Aziezir Abdullah, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir.

Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didapati mencuri di dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat menyimpan pelbagai barangan perkakasan.

Dia didakwa mencuri empat unit lampu LED, satu unit mentol, tiga bilah pisau, dua unit gerudi elektrik, satu unit set sepana dan dua unit barang cenderahati yang kesemuanya bernilai RM267.70.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Kedai MR. DIY, Sunway Pyramid, Bandar Sunway di sini pukul 2.45 petang, 30 Disember lalu.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu hukuman diringankan memandangkan dia tidak bekerja dan tinggal bersama ibu saudaranya di sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran mahu pihak mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesilapan sama. - UTUSAN ONLINE