Tertuduh yang juga seorang penganggur, Muhammad Hanifah [email protected], 31, membuat pengakuan bersalah selepas empat pertuduhan tersebut dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nabila Md. Ruslan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghapuskan harta curi iaitu sebuah motosikal jenis Honda C70 dan motosikal jenis Honda Ex-5.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah kediaman Nombor 9, Kampung Kuala Kangkung, Simpang Empat pada pukul 5 petang, 25 September lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Muhamad Hanifah dituduh mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih tujuh tahun serta denda.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi setiap kesalahan oleh mahkamah bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Manakala bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa cuba mencuri sebuah motosikal jenis Honda C70 pada pukul 5.45 petang di kawasan sawah padi, Mukim Kangkong, Simpang Empat pada 21 September lalu dan dituduh mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan keempat pula, Muhamad Hanifah didakwa mencederakan orang awam, Muhamad Rahmat Abidin, 17, menggunakan sebilah parang hingga menyebabkan luka pada bahagian ibu jari di sebuah bengkel di Batu 9, Jalan kangkong, Simpang Empat pada pukul 9.15 malam 20 September lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun serta denda atau sebat.

Muhamad Hanifah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan bagi setiap kesalahan untuk dua-dua pertuduhan itu dan mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 24 September lalu.

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norhasliza Md. Ali dan Qatrin Nada Harun. - UTUSAN ONLINE