Tertuduh, Abd. Rahim Osman, 35, yang memakai baju lokap itu, dituduh atas dua pertuduhan iaitu menculik dan mencederakan kanak-kanak terbabit, Wan Nur Ainul Darwisyah Amri.

Dia mengaku bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd. Rahim didakwa menculik Wan Nur Ainul Darwisyah dengan mengurung mangsa secara salah di dalam sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai kira-kira pukul 6 petang, 9 Februari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan menggunakan sebilah pisau di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Alif Farhan Hassan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang serius selain bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa dan keluarganya.

Mahkamah memutuskan untuk tidak menawarkan jaminan dan menetapkan Rabu depan untuk fakta kes dan hukuman.

Pada 11 Februari lalu, akhbar melaporkan seorang lelaki yang disyaki penagih dadah bertindak menjadikan anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun sebagai tebusan selama kira-kira enam jam di dalam tandas sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, suspek yang dipanggil Pak Su berusia 34 tahun dikatakan pergi ke rumah kakaknya itu dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Felda Ijok, Selama, Perak dipercayai untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Lelaki itu bagaimanapun mengamuk apabila tidak mendapat wang kerana ketika kejadian hanya tiga anak saudaranya termasuk mangsa, Wan Nur Ainul Darwisyah berada di rumah tersebut.

Suspek berjaya ditahan polis ketika mahu melarikan diri melalui pintu belakang rumah dengan menggunakan motosikal. - UTUSAN ONLINE