Ramlee Daud, 38, didakwa melakukan perbuatan itu di empat tempat berasingan di sini antara 10 September 2016 dan 10 Oktober 2016.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menipu Lim Chai Eng dan Noor Syuhada Ahmad di Restoran Pelita di Pasaraya Giant Bayan Lepas kira-kira pukul 6 petang, masing-masing pada 10 dan 15 September 2016.

Kedua-dua mangsa didakwa diperdayakan untuk mempercayai bahawa dia boleh mempercepatkan permohonan rumah mampu milik di bawah kerajaan negeri secara memotong giliran selepas mereka membayar RM1,000 setiap seorang.

Ramlee juga didakwa menipu Maryani Ahmad di Restoran Bangkok Tomyam, Bayan Lepas kira-kira pukul 8 malam, 9 November 2016 serta Muniroh Mohd. Zulkefli di Restoran Pelita di Pasaraya Giant Bayan Lepas pada pukul 6 petang, 10 Oktober 2016, bagi tujuan yang sama.

Akibat penipuan itu, kedua-dua mangsa didakwa mengalami kerugian sebanyak RM1,100 dan RM1,000.

Bagi pertuduhan berikutnya, tertuduh didakwa menipu Fatin Sabariah Abdul Rahim bagi menyerahkan wang RM1,000 dan Aziron Ariffin sebanyak RM1,400 bagi tujuan sama, masing-masing di Restoran Pelita, Pasaraya Giant Bayan Lepas kira-kira pukul 6 petang, 10 Oktober 2016 serta di restoran McDonald’s, Bayan Lepas sekitar pukul 8.30 malam, 13 November 2016.

Kesemua pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Imran Hamid mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda.

Hakim Noor Aini Yusof kemudian membenarkan Ramlee diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta 12 April ini sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam selain serahan dokumen.