Muhammad Zuhaili Yahya, 30, didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Ataul Karim Ashik, 23, di KK Mart, Jalan Duta Mas, Jalan Seroja 3, Taman Segambut, Sentul, di sini pada pukul 1.10 pagi, 30 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Farith Muhammad Faizal mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Pihak pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan di bawah seksyen tersebut adalah serius, bagaimanapun abang tertuduh yang hadir sebagai penjamin memohon jaminan dikurangkan kerana dia merupakan penanggung utama keluarga.

Hakim Dr. Gan Chee Keong membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin berserta empat syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap dua minggu, hadir tepat pada pukul 9 pagi setiap kali sebutan kesnya di mahkamah, dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu berkelakuan baik sehingga kesnya dilupuskan.

Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE