Tertuduh, Amir Ariffin, 49, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Amir juga berdepan tuduhan di bawah Seksyen 326 kanun sama kerana menyebabkan kecederaan parah kepada bapa saudara kanak-kanak itu dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.

Tiada pengakuan direkodkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302, sementara tertuduh yang tidak mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 326 juga tidak ditawarkan sebarang jaminan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Amir didakwa membunuh Nurul Hanim Idris, 5, dan Muhammad Hafiz Idris, 2, di sebuah rumah No 11, Kampung Tengah, Kuala Sungai, di sini antara pukul 11 malam hingga 12 tengah malam, pada 8 Januari lalu.

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh yang memakai kemeja-T berwarna jingga turut didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah ke atas Soberi Saad, 52, dengan menggunakan sebilah pedang di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Nurul Rasyidah kemudian menetapkan 18 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Waheda Abd. Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, Nurul Hanim dan adiknya, Muhammad Hafiz maut di tempat kejadian akibat ditetak dan dikelar dalam kejadian amuk membabitkan seorang lelaki yang juga kenalan bapa mereka.

Soberi yang berada di dalam rumah yang sama ketika kejadian turut menerima 10 jahitan di bahagian kiri muka akibat dilibas dengan pedang oleh suspek. - UTUSAN ONLINE