Tan Yee Chun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung, Perak,
Tan Yee Chun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung, Perak, semalam, atas tuduhan  membunuh seorang bekas anggota TLDM. – Ihsan Rakan Media

Tan Yee Chun, 27, dari Kampung Koh dekat sini memaklumkan yang dia memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Bagaimanapun tiada penga­kuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, Yee Chun bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Mohd. Supian Md. Samat, 34, di antara pukul 1 pagi dan 8.50 pagi, 10 Mac lalu di tepi jalan berhampiran sebuah bengkel kereta, Jalan Kampung Cina, Taman Sri Mawar di sini.

Pertuduhan terhadapnya yang memakai baju lokap warna jingga dan berseluar ungu dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Ahmad Asyeq Salleh mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Yee Chun juga didakwa atas satu lagi pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 14.49 gram pada pukul 7.30 petang, 15 Mac lalu di sebuah rumah di Jalan Lumut, Taman Sitiawan Maju dekat sini.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd. Supian
Mohd. Supian

Nur Shaqira tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kedua-dua kes tersebut sementara me­nunggu laporan kimia dan bedah siasat diperoleh.

Menurut laporan akhbar, mayat Mohd. Supian ditemukan oleh orang awam yang me­lalui kawasan tersebut kira-kira pukul 8.50 pagi dalam ke­adaan terba­ring berlumur­an darah di dalam kawa­san semak berdekatan jalan berkenaan.

Turut ditemukan di kawasan kejadian, motosikal dinaiki mangsa dalam keadaan tumbang yang berada kira-kira dua meter dari mayat tersebut.

Difahamkan pada hari kejadian, mangsa yang mempunyai seorang anak perempuan sedang pulang bercuti daripada menghadiri kursus di Kedah.