Mohd. Fahrur Radzi Chahat, 25, didakwa membunuh Mohamad Irfan Abd. Hadi dengan cara menekup serta menutup mulut menggunakan jari tangan kanan sehingga kanak-kanak itu tidak bernafas.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Ba-yan 14, Taman Bukit Katil di sini pada pukul 10.30 malam, 11 Februari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Muhammad Juhari Haron mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Tertuduh hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Ida Rahayu menetapkan 28 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Utusan Malaysia pada 1 September lalu melaporkan, penahanan sepasang kekasih berhubung satu kes kecurian kenderaan yang kemudiannya telah membongkar penemuan rangka seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai mati dibunuh.