Hakim Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Kamarul Zaimi Kamaruddin, 38 dan Mohamad Akir Abdul Aziz, 29, di akhir kes pendakwaan.

Azmi dalam penghakimannya berkata, setelah meneliti segala hujahan termasuk yang bertulis, mendapati tiada elemen dapat mengaitkan secara langsung atau mengikut keadaan bahawa kedua-dua tertuduh melakukan pembunuhan tersebut.

“Sehubungan itu, mahkamah tiada pilihan lain selain melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan tersebut,” katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama empat lagi yang masih bebas dengan niat bersama telah membunuh Imra Nazli Rusdi, 31, di dalam reban ayam bersebelahan padang permainan Pinggiran Sungai Long, Kajang pukul 10.09 pagi pada 4 April 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Kamarul merupakan seorang penganggur manakala Mohamad Akir anggota polis berpangkat Lans Koperal semasa kejadian tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar dengan mengemukakan seramai 19 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula awal Januari tahun ini.

Sementara, Peguam Rodzim Abdul Hamid mewakili Kamarul manakala Mohamad Akir diwakili Peguam Diar Isda Yazmin. - UTUSAN ONLINE