V. Mathiyalagan, 46, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap R. Rathna, 44, kira-kira pukul 12 tengah hari, 26 Mei lalu di sebuah rumah beralamat No. 626, Lorong Fairuz 3, Taman Arked dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding, tertuduh kelihatan cukup tenang dan ha­nya mengangguk faham selepas pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mathiyalagan.

Majistret Adibah Husna Zainal Abidin menetapkan 10 Ogos ini sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat selain tidak membenarkan tertuduh dijamin.

Akhbar pada 7 Jun lalu melaporkan, mangsa maut setelah dua minggu mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dekat sini dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar akibat dibaling dengan botol berisi petrol yang dibakar ketika mangsa mencuci ayam di dapur rumahnya.

Mengikut siasatan awal polis, suspek yang sudah dua tahun hidup secara gelandangan dipercayai berbuat demikian kerana mangsa enggan tinggal bersamanya.

Anak pasangan itu yang berusia 19 tahun dilaporkan turut terlihat kelibat suspek melarikan diri ketika badan ibunya terbakar.