Ammar atau nama sebenarnya, Azizul Ammar Abu Hassan, 30, dari Segambut, Kuala Lumpur dan Abdul Ghani Mohd. Mokhtar, 41, dari Petaling Jaya membuat pengakuan tersebut selepas selesai pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa dengan sengaja mengaibkan Watson, 41, dengan niat hendak membangkitkan pe­cah keamanan di Hotel Medan di sini kira-kira pukul 11.30 malam, 22 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Saiful Sayoti membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,500 berserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 4 Julai ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Watson yang terkenal de­ngan gelaran The Flying Dayak membuat laporan polis pada 24 April lalu, terhadap Ammar yang mencetuskan kontroversi apabila mempersendakan nama men­diang bapanya dalam rancangan berkenaan di rangkaian televi­syen swasta, TV3.

Menerusi program ulangan yang disiarkan pada malam Sabtu, Ammar yang mengacarakan program itu bersama Marsha Milan Londoh didakwa mempersendakan nama mendiang bapa Watson dengan menyamakan dengan bunyi kambing.

Berikutan laporan polis tersebut, Ammar bersama pengurusan Primeworks Studios Sdn. Bhd. (PWS) diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Izham Omar telah mengadakan pertemuan dengan Watson di Miri bagi memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, Watson yang berasa amat tersinggung enggan menerima permohonan maaf tersebut dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut berhubung kes berkenaan.