Panel tiga hakim Mahkamah Ra­yuan diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama Datuk Zamani A. Rahim dan Puan Sri Zaleha Yusof memutuskan demikian secara sebulat suara hari ini dan memerintahkan perayu-perayu membayar kos keseluruhan sebanyak RM100,000.

Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi betul ketika menolak tuntutan saman golongan peneroka tersebut dan tidak memerlukan mahkamah campur tangan untuk mengubah keputusan sebe­lumnya.

Sehubungan itu, panel tersebut mengekalkan keputusan Mah­kamah Tinggi Seremban pada 27 Jun 2015 selepas berpendapat isu yang dibangkitkan dalam rayuan tersebut tiada merit.

Terdahulu, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili responden memohon kos RM100,000 kerana pelbagai isu dibangkitkan ketika prosiding rayuan yang mengambil masa selama tiga hari, selain melibatkan pemfailan jumlah dokumen yang banyak.

Hujah beliau, jumlah kos yang tinggi dimohon agar rayuan tersebut menjadi pengajaran kepada golongan peneroka kerana banyak lagi kes saman difailkan terhadap Felda dan anak syarikatnya di beberapa mahkamah lain termasuk di Temerloh dan Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, peguam R. Si­varasa yang mewakili perayu-perayu memohon kos sebanyak RM10,000 atas alasan rayuan bukan mengambil masa selama tiga hari secara berturut-turut manakala pemfailan dokumen yang banyak bukan sesuatu yang luar biasa dalam kes sivil.

Peguam bela turut tidak berpuas hati dengan jumlah kos yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebanyak RM372,000 iaitu setiap peneroka perlu membayar kos RM1,000 yang disifatkan sebagai keterlaluan.

Ketika ditemui di luar mah­kamah, Sivarasa berkata, pihak­nya akan berbincang dengan anak-­anak guam sama ada untuk mera­yu ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Tinggi ketika menolak tuntutan saman peneroka-peneroka tersebut memutuskan mereka tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk menyaman kerana gagal membuktikan setiap plaintif menjual tandan buah segar (FFB) kepada defendan kedua iaitu Felda Palm Industries Sdn. Bhd.

Hakim Zabariah Mohd. Yusof (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berpendapat, dakwaan berlaku unsur penipuan dalam kadar perahan gred (KPG) antara 1995 hingga September 1998, sebelum Sistem Belian Terus diperkenalkan dianggap tidak berasas oleh mahkamah.

Pada awalnya, seramai 766 pe­neroka terlibat dalam tuntutan tersebut. Bagaimanapun, hanya 372 plaintif yang tinggal berikutan ada menarik diri dan meninggal dunia.

Pada 9 Ogos 2010, kesemua peneroka berkenaan diwakili Karip Mohd Salleh mengambil keputusan untuk memfailkan saman terhadap Felda ekoran berasa tertipu hampir 15 tahun dalam soal perahan minyak.