Dalam saman berkenaan, Deepak, 46, menamakan bekas Perdana Menteri itu dan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai defendan pertama dan kedua manakala syarikat hartanah, Boustead Holdings Bhd. defendan ketiga dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development Sdn. Bhd. defendan keempat.


Tarikh berkenaan ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Farah Shuhada Ramli ketika pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.


Peguam Irzan Iswat Mohd. Nor yang mewakili Deepak memberitahu pendengaran permohonan semua defendan untuk membatalkan saman itu akan dibuat hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar.


Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 12 Oktober lalu, Deepak mendakwa, dia sebagai pengarah dan pemilik saham terbesar Astacanggih Sdn. Bhd. menandatangani satu perjanjian dengan pengarah dan pemilik saham terbesar syarikat Awan Megah (M) Sdn. Bhd. Raja Ropiaah Raja Abdullah berhubung tiga bidang tanah seluas 181.9 hektar di Mukim Kapar, Klang dan Mukim Bukit Raja, Jajahan Petaling.


Deepak mendakwa, pembayaran deposit sebanyak RM13 juta telah dimajukan oleh Astacanggih kepada Awan Megah dan bon tanah daripada Kuwait Finance House (M) Bhd. dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia berjumlah RM72.5 juta oleh syarikatnya itu namun Awan Megah melalui Raja Ropiaah telah gagal dan enggan memajukan geran asal bagi tanah-tanah tersebut untuk didaftarkan pindah milik kepada Astacanggih.


Deepak mendakwa, akibat penipuan dan pengaruh tidak wajar defendan pertama dan kedua, Astacanggih terpaksa akur menjual 80 peratus (16 juta unit saham yang telah berbayar) daripada keseluruhan saham yang dimiliki olehnya dalam syarikat itu (Astacanggih) kepada Boustead Holdings melalui anak syarikatnya, defendan keempat.


Tanah-tanah tersebut dari segi undang-undang menurut Deepak, merupakan milik ekuiti plaintif menerusi Astacanggih semasa pihak plaintif merupakan pengarah, pemegang saham majoriti syarikat itu menandatangani perjanjian perolehan antara syarikat plaintif dengan Awan Megah melalui Raja Ropiaah.


Deepak sehubungan itu antaranya menuntut daripada pihak defendan secara bersama atau berasingan ganti rugi am RM600 juta, ganti rugi teladan RM50 juta dan ganti rugi berpanjangan RM26 juta. - UTUSAN ONLINE.