Tertuduh, Hairul Nizan Mhd. Ideris, 36, yang masih bertugas di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai seorang pegawai dakwah di PAID daerah Hulu Langat menggunakan jawatannya untuk mengambil apa-apa tindakan iaitu mengemukakan permohonan dan syor bagi pembekalan oleh syarikat Prisma Jaya Kini Resources milik abang kandungnya bagi Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Hulu Langat yang berjumlah RM10,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di PAID daerah Hulu Langat pada 1 Februari 2016.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 4 September depan. - UTUSAN ONLINE