Dokumen tersebut terdiri daripada salinan DVD kamera litar tertutup (CCTV) Aras 13 Shuffsburry Residence, Cyberjaya; salinan cakera keras CCTV Pejabat Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri dan salinan 'slide presentation' diserahkan kepada peguam Hasanah, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad ketika memaklumkan perkara itu ketika pengurusan kes di hadapan Hakim, Rozina Ayob turut berkata pihaknya belum menyempurnakan dokumen untuk diserahkan kepada pembelaan.

"Pihak kami juga telah memfailkan permohonan agar kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi semalam," katanya.

Sehubungan itu, Rozina menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan baki dokumen.

Pada 29 November lalu, pendakwaan menyerahkan 46 dokumen kes itu.

Terdahulu, Mohd. Khairul memohon kebenaran mahkamah untuk membenarkan akaun anak guamnya yang dibekukan sebelum ini dibuka semula.

Bagaimanapun Rozina berkata, mahkamah tidak boleh membuat keputusan berhubung permohonan itu sebaliknya menyarankan agar kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan berbincang.

Pada 25 Oktober lalu, Hasanah, 62, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia sebanyak AS$12.1 juta (RM50.43 juta), April dan Mei lalu. - UTUSAN ONLINE