Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan untuk mengetuai pasukan pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, kes itu telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah) untuk beberapa waktu.

"Tetapi atas alasan yang pelik, kes ini diarah ditutup. Saya tidak mengerti mengapa ia diarah ditutup, sekarang kes ini dibuka semula," katanya kepada Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, hari ini.

Rozina juga meminta pihak pendakwaan menyegerakan penyerahan dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah kerana ia melibatkan ramai saksi warga asing, bagaimanapun Sri Ram menjelaskan pihak pendakwaan hanya akan memanggil dua atau tiga saksi dari luar negara.

Rozina : Adakah anda bersedia untuk meneruskan kes ini?

Sri Ram : Ya, kami (pihak pendakwaan) sudah bersedia.

Terdahulu, Sri Ram mencadangkan Musa dibebaskan dengan ikat jamin RM5 juta dengan dua penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah, bagaimanapun peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Musa, memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu kepada RM1 juta.

Rozina bagaimanapun, membenarkan Musa diikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin dan turut memerintahkan beliau menyerahkan dua pasportnya kepada mahkamah sehingga kesnya selesai didengar.

Amer Hamzah kemudian memohon agar ikat jamin itu dibayar secara ansuran dengan RM500,000 diserahkan hari ini dan bakinya diselesaikan pada Rabu.

Rozina bersetuju dan memerintahkan Musa untuk tinggal di sini (di Kuala Lumpur) dan menghalang beliau pulang ke Kota Kinabalu sehingga ikat jaminnya diselesaikan pada Rabu.

Amer Hamzah kemudian berdiri dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya perlu menghadiri kes di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Rabu ini, yang ditetapkan untuk keputusan berhubung saman pemula Musa terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal.

"Mungkin saya perlu menarik balik ikat jamin," katanya sambil berseloroh. - BERNAMA