Muhammad Shafee berkata, sebelum ini dilaporkan anak guamnya telah meminda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas laporan itu siap.

“Namun pertuduhan hari ini pula, Najib dituduh telah mengeluarkan beberapa arahan untuk meminda laporan tersebut di peringkat draf,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pekarangan lobi kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Menurut Muhammad Shafee, pindaan hanya boleh dilakukan selepas laporan itu siap.

Tambah beliau, sekiranya Najib mengarahkan laporan itu dipinda, ini bermakna laporan itu telah siap dan sedia untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

“Pihak pendakwaraya sekarang berkata Najib tidak lakukan perkara itu tetapi membuat beberapa arahan semasa laporan itu masih di peringkat draf.

“Bekas Ketua Audit Negara yang menyediakan laporan itu sebelum ini berkata tiada siapa yang arahkan beliau untuk membuat pindaan itu,” katanya.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendakwa Najib mengarahkan laporan 1MDB dipinda selepas siap dan bukanlah pada draf laporan tersebut.

Beliau turut mendedahkan bahawa sebahagian audit akhir laporan 1MDB telah dibuang.

Tambah Madinah, perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu ialah mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan kedua berkenaan status kewangan 1MDB. - UTUSAN ONLINE