Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam ucapan pembukaannya di Mahkamah Tinggi di sini menyatakan hasil siasatan mendapati antara sebab kematian semua mangsa adalah luka bakar dan sesak nafas akibat menghidu asap serta jelaga.

Beliau berkata, hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mendapati punca kebakaran pusat tahfiz berkenaan adalah dikategorikan sebagai sengaja dibakar.

“Bahagian Penyiasatan Kebakaran agensi tersebut juga mendapati tempat bermula kebakaran adalah di hadapan pintu masuk bilik asrama dan sumber pencetus kebakaran adalah daripada pemetik api yang digunakan untuk menyalakan petrol yang dicurahkan di rak tuala, rak kasut, dinding dan pintu bilik asrama.

“Nyalaan api ini menjadi semakin kuat dengan adanya gas petroleum cecair (LPG) daripada kedua-dua tong gas yang turut menyebabkan api merebak dengan cepat di seluruh bilik asrama,” katanya dalam ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes itu hari ini.

Mengikut pertuduhan, dua remaja terbabit yang kini berusia 17 tahun itu didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September 2017.

Kedua-duanya yang diwakili peguam Haijan Omar ma­sing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam ucapan pembukaan itu juga, menurut Othman, hasil siasatan polis mendapati sebelum kebakaran tercetus iaitu pada 14 September tahun lalu, tertuduh-tertuduh telah berbual mahu membakar pusat tahfiz itu.

“Kedua-dua tertuduh dilihat meninggalkan Lorong Keramat 18, Jalan Datuk Keramat pada 14 September 2017 pukul 4.15 pagi dengan menaiki dua buah motosikal dan pada pukul 4.30 pagi, mereka telah ke kawasan berhampiran tempat kejadian sebelum masuk ke dalam kawasan pusat tahfiz dengan cara melompat pagar serta membawa petrol yang diisi dalam botol air mineral.

“Pada pukul 4.50 pagi, kedua-dua tertuduh telah melompat keluar dari pusat tahfiz itu dalam keadaan cemas dan tergesa-gesa sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki motosikal. Pada masa sama, cahaya api telah kelihatan di tingkat tiga pusat tahfiz berkenaan,” katanya.

Kata Othman, pihak polis juga berjaya menemukan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mengesahkan kehadiran kedua-dua remaja itu di beberapa lokasi termasuk di kawasan berhampiran tempat kejadian.

Dalam perbicaraan hari ini, pihak pendakwaan memanggil dua saksi iaitu Konstabel Mohammad Aidil Abdul Kadir yang ketika itu bertugas di Pusat Kawalan Polis Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ahli Kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Aidora Saedon.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azman Abdullah bersambung esok.