Sumber jabatan itu memberitahu, pihaknya mengemu­kakan rayuan kerana tidak ber­­puas hati dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas Rahayu Hassan, 26, oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas dekat sini, Ahad lalu.

“Kita mengambil keputusan untuk berbuat demikian selepas peguam tertuduh memfailkan rayuan atas sabitan hukuman berat yang diterima oleh anak guam mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Pada 30 Julai lalu, Rahayu yang merupakan ibu tiri kepada mangsa, Nur Zuliana Zaara Zulkifli atau Yaya dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mencederakan serta menganiaya kanak-kanak itu dua tahun lalu.

Hakim Dazuki Ali memutuskan demikian selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada ak­hir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, Rahayu didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Nur Zuliana Zaara yang berusia lima tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Lot 2071, Kampung Bagus, Rantau Panjang antara Januari dan Mei 2015.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, peniaga kosmetik itu didakwa meng­aniaya hingga menyebabkan mangsa me­nga­lami kecede­raan fizikal dan emosi di tempat, masa dan tarikh sama.

Wanita terba­bit didenda RM15,000 atau penjara lima bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara empat tahun bagi pertuduhan kedua.

Bagaimana­pun, mah­ka­mah membe­nar­kan pe­­­­nangguhan pelaksanaan hukuman penjara dengan syarat jumlah jaminan dinaikkan kepada RM30,000 selain tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Balai Polis Rantau Panjang sebulan sekali sehingga kes selesai.

Sementara itu, bapa kan­dung Yaya, Zulkifli Che Othman, 41, didenda RM12,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya.