Pesuruhjaya Kehakiman, Da­tuk Ab. Karim Ab. Rahman bagaima­napun, meminda pertuduhan Seksyen 380 Kanun Kesek­saan yang di­ke­nakan ke atas perayu, Shahrul Anuar Abdul Aziz, 25, kepada Seksyen 379 kanun sama selepas mendapati kecurian yang berlaku adalah terhadap pekerja kedai terbabit.

“Dalam kes ini, apa yang berlaku ialah telefon bimbit yang dipegang oleh saksi pendakwaan pertama (SP1) yang juga pengadu kes diserahkan kepada perayu sebelum dilarikan. Jadi ini merupakan kecurian atas seorang individu dan bukannya dalam bangunan atau premis,” katanya.

Menurut pertuduhan pindaan, anak bongsu daripada tiga beradik itu didakwa mencuri tele­fon bimbit Lenovo S860 yang berada di bawah jagaan See Ming Ho di Techasia Boutique, Lot UG, K021, Tingkat UG, Plaza Low Yat, Bukit Bintang di sini pada pukul 4.47 petang, 11 Julai 2015.

Perayu yang diwakili peguam bela, Shaharudin Ali memfailkan rayuan selepas tidak berpuas hati dengan sabitan tersebut yang didakwanya telah berlaku salah arah sewaktu majistret membuat keputusan manakala pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad pula merayu terhadap hukuman yang disifatkan ringan.

Menyentuh dakwaan salah arah, Ab. Karim menyatakan tidak berlaku salah arah yang serius oleh Mahkamah Majistret yang boleh mengganggu kes tersebut.

Dalam pada itu, Shaharudin memohon agar pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara pihaknya merayu ke Mahkamah Rayuan.